Hey yang di sana!

Belog ni masih kosong. Masih mentah. Moga kunjungan kalian menghapus gundah. :)

Tuesday 19 November 2013

#21 Nota buat Mantan Kegemaran


Nota separa benar daripada seseorang yang lelah berlari dari desak yang menyesakkan.





" Mengacah-acah perhatianku untuk apa, mantan kegemaran? Untuk apa? Sudah kubilang pergi. Usah diganggu-gugat perasaan kecil ini. Aku sedang sembuh. Lalu bagaimana mahu terubat pedihnya kalau kamu dengan ghairahnya menghiris lapis-lapis sabar dari nipis jiwaku?

Asakan-asakan kamu mencincang-lumatkan hatiku. Tanda kamu tak menghargai terlalu jelas, wahai mantan kegemaran. Usah dibilang kamu mahu sinar membaluti aku, kalau kamu sendiri yang mengundang awan hitam melitupi langit hidupku.


Tenang.


Mencuba lagi aku, menganggap semuanya beres. Kamu dengan haluanmu, aku dengan jalanku. Hingga satu lorong kecil yang menemukan kita tiba-tiba, hingga saat yang menuntut aku melempar terus sepotong memori kita; kamu dan canda bisamu mematuk titik hibaku.

Kalaupun tak sudi, tak usah dipasang-pasangkan aku dengan yang lainnya. Kalaupun hatimu sudah terisi, usah dihambat kosong hatiku; memaksa sarat selain darimu. Aku sedang lagi belajar melupakanmu. Aku sedang membebaskan bayangmu dari pandanganku. Aku lagi mengaburkan penglihatanku dari menjeling kelibatmu. Sungguh aku usaha keras, wahai mantan kegemaran. Aku usaha semampuku. Mencuba tidak menghuru-harakan kehidupan indahmu. Mencuba untuk tidak menjadi khayalan, walau secuit pun dalam lintas-pandangmu.


Wahai mantan kegemaran,

Sejak dari itu, cinta untuk kamu sudah mati. Mati. Kamu yang membunuhnya. Ya kamu. Usahamu berjaya, aku kini hilang segala cinta terhadapmu. Ya, kamu berjaya.

Moga sang pemilik hatimu sentiasa menjaga kamu, yang sampai kapan pun bukan aku punya.





Terima kasih, kerna menjadikan aku insan yang sepenuhnya terbuang.



Aku,
Mantan penggemar mu."

Friday 1 November 2013

#20 Kembali

Sejahtera ke atas kamu.


Tahun-tahun yang ke belakang, aku masih bertahan. Walau pun saat itu perasaannya sudah kian memudar. Walau jarak kian memisah. Walau khabar kian jarang dilayang. Tapi tetap saja aku membisik memujuk jiwa, sabar. Kerna saat itu aku yakin, kita masih sama.

Aku tak apa, sayang (teman). Aku tak apa.



Saat cabang haluan kita dipisahkan dengan segala tembok-tembok tak tersangkakan, aku tetap tabah menahan rasa agar tidak rebah. Aku memaksa diri kukuh, sekukuh tembok-tembok pemisah kita, sayang (teman). Kita belum terlalu jauh, cuma tembok-tembok itu sedang menguji kita.

Aku tak apa, sayang (teman). Aku tak apa.



Tapi betapa aku lupa, bahawa waktu dan jarak mengubah manusia. Dan benar, kita sudah berbeza. Pada khayal, pada amal dan entah, pada segenap hal.

Dan aku sedang berbohong, betapa aku terasa.





Aku cuma mengimpikan kau kembali, yang benar-benar kembali.


Sunday 27 October 2013

#19 Blur

Sejahtera ke atas kamu.


Keterbiasaan dengan hari yang sibuk dan waktu yang menggesa jadikan aku kosong bila tiba hari yang lapang.



Duduk.



Termenung.



Blur.



Ok aku makin blur.

Friday 25 October 2013

#18 Han

Sejahtera ke atas kamu.


Han.

Kawan aku. Namanya Han. Muda remaja lagi. Si gadis lasak yang manisnya ada. Yang senyumnya, buat aku ikut senyum, walaupun kebanyakkan masa suka bermuka nak tumbuk orang. Mungkin sebab dia anak gadis tunggal kepada seorang anggota keselamatan negara, sudah terbiasa lasak serba serbi. Dan itu, itu istimewanya Han. Han tak lembik.

Masa awal-awal kenal Han, serious talk, aku malas tegur. Takut. Dan aku sampai sekarang cuba ingat, titik mana yang kami mula berbual sampai aku rasa, "Hey, ayuh kita berteman".

Aktiviti memperbodohkan diri terasa cool bila ada 'rakan sepenjenayah' macam Han. (haha). No doubt, dia ni dalam tegas ada kegilaan yang kadang menggeletek usus aku. Perlu rakan merepek? Han ada. Aku tak berapa gusar cari bekalan topik untuk berbual dengan dia. Random. Kami sangat random.

Han lincah dan ramah bila dikelilingi orang yang dah biasa dengan dia. Dan, dia memang jujur. Kadang cakap tak belok-belok, tapi hati kita confirm dia jaga. Teguran dia selalunya benar. Pap! Kena muka kita sebijik. Dalam ketidaksedaran kita, Han hulur cermin dilengkapi sistem pantulan direct ke muka comel kita ni. (kahkahkah). No doubt, selesa berbual dengan dia.

Dia ni cukup menjaga 'anak-anak' dia. Kalau kita jadi orang yang rapat dengan dia, kebajikan confirm terjaga. Waktu nak ke mana-mana, tanpa disuruh tanpa dipaksa, Han jadi 'ibu' yang kumpulkan anak-anak yang berterabur. Aku tak bimbang dengan dia. Selepas aku, dia mampu jadi 'kepala' jugak. Sekepala! Senang cerita.

Ada satu hari tu, kawan kami dirundung hiba. Bercerita, meluah rasa. Aku yang ketika tu fokus menenangkan hati kawan, memeluk dan mengusap tangannya mengirim kekuatan, aku terpandang Han. Han, yang lasak tingkahnya; mengusap mata yang basah. Dan aku; terdiam. Turut merasa sebak yang tiba-tiba. Han detik itu, terlihat kelembutan hatinya.

Di lain masa, aku dan Han selalu membincangkan topik-topik pembinaan diri. Merenung kelemahan, mendoakan kemajuan. Atau kadang-kadang, sekadar mengulas perkembangan terkini. Atau, mentertawakan keremehan yang sebenarnya entah di mana lucunya. Tapi kerana ianya adalah aku dan Han, lalu ia lucu. Lalu ia terasa bermakna.

Mungkin lasak hati kami, atau ego terlindung membodoh-bodohkan sifat pengasih dua sahabat;
yang menghijab ungkapan rindu dari telus menembus hati keduanya. Jarang-jarang benar terluah. Kalau pun ada, dalam nada berseloroh yang sengaja dijengkel-jengkelkan. (sigh)








Sekarang, sebenar-benarnya
aku merindukan Han.

Aku rindu.

Tuesday 22 October 2013

#17 Kata

Sejahtera ke atas kamu.


Kadang-kadang aku rasa macam beribu perkara nak aku cakapkan. Semuanya nak dimuntahkan, nak dicanangkan. Tapi dalam kemahuan yang serba tak tahu tu, aku hilang semua perkataan yang mampu diucapkan. Aku hilang seluruh kata.

Waktu yang aku sangat mahu difaham, entah kenapa aku diam. Tak aku khabarkan.






Kata-kataku hilang,
seperti aku yang terbang...

Tuesday 15 October 2013

#16 Sayu

Sejahtera ke atas kamu.


Menyepi dari susunan aksara panjang di sini.

*haha*

Kelmarin aku renung awan. Semalam aku renung, teliti wajah dan jejak-jejak kesayangans (ramai). Tau apa yang aku temu?


Sayu.

Dan mata turut merai sendu.


Aku rindu.


*seakan semua ini akan berlalu...

Friday 6 September 2013

#15 Berubah



"Kamu berubah, sejak dari itu."


Aku termangu.

Liur ditelan terasa payau, saraf bagai kejang menerima aliran darah kaget.



Kadang aku rasa gurauan demi gurauan yang terhambur adalah pengzahiran kejujuran sang teman-teman. Tidak mampu tidak, sekelumit aku diserang virus jauh hati. Perit menerima luahan yang cukup aku ngeri untuk mendengarnya; kerana telah aku berjanji bahwa tidak ada satu asbab pun yang mampu mengubah keakraban kami. Tidak, walau waktu sering mencemburui.




Dari kejauhan hati yang mengakui kekhilafan, aku mohon kemaafan dari kalian. Ada cabang-cabang perilaku atau susun kata yang merodok, melukakan mana-mana jiwa; sesungguhnya aku tidak rela. Sedikit pun, tidak.

Aduhai sang teman-teman yang menyayangi,
kalau waktu bisa aku beli, sudah aku laburkan segenap harta buat memeluk kalian yang aku sayangi.

Jika mampu ku duakan diri, timur-barat ku agih kasih; biar sama merasa. Biar tiada terluka.

Aduhai sang teman-teman,
sungguh aku rindu waktu kekita. Di minda ini sedang merangka ke mana hala kita, bersama curi sedikit nikmat dunia. Di jiwa ini sedang selirat merasa-rasa, yang zahirnya tak mampu ku luah segala; aku manusia perahsia (seperti kata semua).


Buat malam yang dinginnya luar biasa, moga sang teman diselimuti hangat kasih dari Pencipta.
Aku, manusia yang mencintai mereka.



Sayang,
Si cengeng merindu.

Sunday 28 July 2013

#15 KOSONG

Sejahtera ke atas kamu.


Entri pertama dulu (#1 Awal Kalam) sudah aku jelaskan macam mana penglibatan awal aku menulis puisi.

Complicated betul tulisan aku -.-'


KOSONG?




"Banyak KOSONG
Sana-sini
Compang-camping di mana-mana pun
KOSONG,
KOSONG!

KOSONGnya ruang
KOSONGnya cinta
KOSONGnya diri
keKOSONGan
bukan tak berisi
cuma kosongkan yang penuh"

(kosong, 2011)


Hari ni aku tergerak hati untuk cerita lebih lagi tentang seorang KOSONG. (entri ni boleh aku forwardkan linknya kalau ada yang tanya soalan yang sama nanti. hahaha)

Ramai persoalkan, kenapa KOSONG?
Jawapan aku, "Panjang ceritanya." 
Terbaru, jawapan aku pada seorang follower (@muhaiminhassim) di Twitter begini bunyinya;
"Pendekkan, kosong banyak definisi. Subjektif. Interpretasi mengikut situasi."

Subjektif.
Cuba bukak kamus sat, tengok apa maksud 'kosong'?
Aku jumpa: Nombor; Sifar, kelapangan, ruang

Dan interpretasi 'kosong' tu sendiri kita ikut situasi. Situasi aku ketika terlintas nickname ni menggambarkan maksud nama tu sendiri (terlalu subjektif untuk diterangkan. biar aku simpan untuk diri sendiri k). Dan aku (ketika tu; 2008) rasa sangat dekat dengan lagu Kosong - Dewa19

"...Kosong yang hanya ku rasakan..."

Dan ye, lagu Kosong - Najwa Latif yang baru beberapa tahun ni muncul, juga sangat mirip dengan situasi aku.

"...Kau buat kurasa kosong, kosong~"

Bagi aku, definisi 'kosong' tu sendiri lebih luas. Kat bawah ni aku paste-kan puisi picisan aku di Gelanggang Puitis, berkurun yang lalu.







KOSONG itu apa?
kosong itu angka.
kosong itu tiada nilai.
kosong itu rasa.
kosong itu suasana.
kosong itu ruang.
kosong itu kehilangan.
kosong itu sepi.
kosong itu tak berwarna.
kosong itu jernih.
kosong itu bosan.
kosong itu, kosong ini.
Lagi?
Ah. Abaikan.
Hye, aku kosong."


...dan banyak lagi maksudnya yang mungkin aku sendiri tak pernah terfikir.


Menjadi seorang KOSONG bagi aku tak mudah. Aku bukan penulis sepenuh masa. Menulis (atau aku lebih suka panggil ContengRasa) ni sebenarnya terapi untuk aku. Waktu impak emosi yang kuat melanda, ada bisik-bisik kata melintasi minda. Mungkin dengan mencontengnya dapat mengekspresikan apa yang aku rasa. Apa yang aku fikirkan; yang tak terzahir dalam bentuk perlakuan.


Menjadi seorang KOSONG, impak feedback daripada orang sekeliling kadang menjadikan aku bingung. Complicated/Confusing sangat ke seorang aku? Sejak awal kemunculan aku (di Gelanggang & Kapasitor, hingga ke Twitter), ramai salah anggap aku ni lelaki. Aku ternganga sendiri.


Mungkin sebab ruangan info peribadi yang selalu aku kosongkan buat orang lebih selesa mengandaikan aku lelaki. Mungkin jugak sebab avatar yang aku guna selalunya bersifat general, subjektif dan tak memihak kepada sifat feminin. 


Naahh! Aku seorang gadis biasa. Punya cela. Sama macam kalian; tak sempurna. Jujurnya aku tak pernah merancang untuk menjadi yang MISTERI atau apa. Sejak awal aku mengandaikan yang jantina/butir peribadi takkan mempengaruhi apa yang aku bakal tulis. Kalian boleh abaikan part tu. Serius. Aku lebih selesa kita membicarakan tentang perkara-perkara yang lebih penting daripada keremehan MISTERI SEORANG KOSONG yang sememangnya kosong ni.


Satu lagi, menconteng rasa dengan identiti KOSONG ni mengajar aku untuk selalu berfikir secara general. Aku tak suka menjadi bias atau terlalu rigid, spesifik. Aku suka fleksibel. Kalau tengok puisi-puisi/contengan aku pun selalunya membawa isu yang mungkin dirasa majoriti kita. Contohnya hari ni aku tweet;


"Pernah tak rasa kekosongan di mana2, diam dan fikir mana kekurangannya?"


Aku rasa cukuplah penerangan aku tentang seorang KOSONG. Harap kalian mampu cerna riwayat aku yang complicated ni. Mungkin lain kali aku cerita tentang macam mana dapat idea untuk puisi pulak.


Kat bawah ni aku share related stuff pasal kosong. Apa pun aku nak pesan,


Jangan biarkan perasaan kosong membelenggu kalian. 
Saratkan dengan perkara-perkara yang perlu dalam hidup seorang manusia. Kita semua manusia. Manusia; hamba Sang Pencipta.


Wallahu'alam.


Puisi Kosong by Ar 


BisikKosong: Entri terpanjang setakat ni. Haha

Monday 24 June 2013

#14 KOSONG sayang KALIAN!

Sejahtera ke atas kamu.


Aku bukan penulis tegar.
Aku bukan perangka cerita dan kisah menggegar.
Aku bukan pemuisi dengan curahan rasa segar.
Aku bukan.
Bukan!

Aku memandang diri aku seorang yang masih tak punya apa. Banyak celanya. Rompong di sini sana.

Dan saat ini; saat yang hingar-bingar, aku mahu pergi.

Mungkin aku PATUT pergi.

Saat yang tak dirasa sesiapa. Saat yang masih belum lewat aku tinggalkan semua.


Entah. Aku ini bukan siapa-siapa. Aku, perlu ruang dan masa.


Aku sayang kalian yang menyayangi aku. Percaya, itu yang aku rasa.




#13 Masa

Sejahtera ke atas kamu.


Sibuk.


Jam yang dua-puluh-empat terpaksa aku tin-sardin-kan, sepadatnya diisi. Di jam yang dua-puluh-empat aku kerahkan objek fikir mengandungkan sesarat mungkin data hidup. Sarat. Sarat. Dan... Meletup!

[Rewind sikit sebelum meletup]


Ada satu fasa di mana aku tenung dalam-dalam, usia dan masa.

Aku rugi. Banyak.


[Fast forward]

Tapi di kesempatan yang kecil ni, aku padatkan dengan usaha dan semangat. Dan gandaan kepelbagaian dalam situasi standard.


Usia dan Masa, yang jadi pemberatnya adalah Amanah. Yang menguatkannya adalah Kepercayaan.

Aku jenis manusia yang memandang amanah sebagai satu perkara besar, sebab bagi aku amanah tu tanggungjawab yang bukan sewenangnya kita acuh tak acuh. Belakangan ni, aku dititipkan satu demi satu amanah. *tarik nafas* Dugaan. Tapi Alhamdulillah, amanah tu datang dari kepercayaan, kan? :')

Dan aku bukan jugak manusia yang senang lepas tangan. Entah kerana kedewasaan atau apa, tapi aku memang akan menolak diri seupaya mungkin, berikhtiar selagi mampu. Mungkin hasilnya sikit, puasnya pada diri. Bagi aku, setiap perkara yang aku berjaya lalui (walau sekecil-kecil perkara yang mungkin remeh pada yang lainnya) adalah satu pencapaian.

Ya, pencapaian.

Dan aku harus hargai diri aku untuk tu.


Dalam usia dan masa ni,
moga segala usahaku,
doaku,
dan tawakalku seiring pencapaian aku.
Moga aku istiqamah.


Doakan aku.

Thursday 6 June 2013

#12 KAMU

Sejahtera ke atas kamu.


Minggu yang sibuk.

*tarik nafas*


Hari-hari yang lepas penuh dengan multitasking OH multitasking! Ke sana sini uruskan apa yang perlu. Sendiri, dan random. Dan adakalanya berteman, juga random. On the spot. Spontan.

Hari-hari yang lepas yang ada harinya aku rasa, lain. Aku rasa sesuatu. Aku jumpa sesuatu.

Rasa.Kedewasaan.lebih sikit dari sebelumnya.

Pijar yang pernah ditelan, bersama payau perisa kenaifan menjeruk rasa. Kematangan jadi manis, tawarkan pekat pahit lama. #puisiTwitter

Rasa.Kebertanggungjawaban.yang rasanya lain sikit dari sebelumnya.

Semalam terlalu eksklusif untuk aku perjelaskan. Terlalu mahal untuk diterjemahkan. Terlalu sukar diperkatakan. Itu; semalam. #puisiTwitter

Kadang minda kita harus diketuk dengan sedikit kebenaran yang hakikat. Keberadaan dalam kelongsong fantasi menyulitkan fasa kematangan. #puisiTwitter

Rasa semalam yang banyak bezanya ke atas aku. Hari-hari yang menuntut pemikiran dan tindakan yang segera, yang 'POMMM!!' jadinya.

Dan hari-hari yang bermain dengan bermacam rasa.


*senyum*


Moga aku lebih bersemangat menghadapi hari esok.

Terima kasih, KAMU KAMU yang meminjam hari-hari yang sarat bermacam rasa & sangat bermakna. 

Ye KAMU, siapa saja kamu yang bersama aku hari-hari yang lalu. 

KAMU yang telah mengetuk rasa & minda. 
KAMU yang mengusik jiwa. 
KAMU yang selalu bersama.

Sesiapa saja. Termasuk kamu-kamu yang berselisih di stesen keretapi, ruang menunggu atau di mana saja yang aku jejaki. 

TERIMA KASIH. KAMU beri erti.


:')

Tuesday 21 May 2013

#10 Pahit

Sejahtera ke atas kamu.




"Pahitnya Paracetamol menerjah esofagus. Pahit lagi ditimpa-timpa, sekaligus." -kosong















Friday 17 May 2013

#9 Hilang


Terlindungnya,
sudah lama hilang.


Mahirnya menuntut bait kata
menjadi baris
dengan frasa yang memberi makna;
dan rasa,
tapi tiada
Dia sekarang tiada.


Fasihnya menceritakan cerita-cerita
tentang masa
tentang rasa
tentang segalanya
yang dicinta,
tapi sekarang tiada;
Dia, hilang dalam kata.


Perkongsian jiwanya
sudah kontang,
tak berasa
Hilang perisa.


Ya,
Dia sudah hilang;
dalam binasa. 

Wednesday 15 May 2013

#8 Rasa dan Diam

Sejahtera ke atas kamu.


Setiap dari kita akan sampai masanya, rasa tercampak jauh ke suatu masa yang khas; masa yang kita kenal. Masa yang paling tak mau diingat. Atau mungkin masa yang paling dirindui.

Ada satu masa yang mana kita cuma mampu diam dan rasakan semuanya. Cuma diam. Diam.

We get over it, but sometimes it just cross our mind. Suddenly.

Dan ada satu masa yang kita tiba-tiba merasa sesuatu, yang kita tak pernah rasa. Tapi kita mau rasa. Dan masa tu, kita betul-betul rasa. Dan, kita cuma mampu diam; dan merasa.

You just feel it.
You hold it for a while;
and throw,
even it's not a good way to let go.

Dan kita tak mampu lari waktu tu. Cuma mampu terus di situ, walau sebenarnya tak mau.



Kau,
pernah rasa?

Friday 3 May 2013

#7 Hampa

Sejahtera ke atas kamu.


Manusia. Biasa ada manusia yang menghukum tanpa bicara. Menyekat dari dituntut bela. Kadang ada baris-baris kata yang lebih dahsyat bisanya dari patukan tedung; si berbisa.

Cukup.
Spekulasi.

Cukup.
Katakan saja benci.


Adil yang dicari,
hampa diberi.


00:11
03052013


Saturday 20 April 2013

#6 Faham

Sejahtera ke atas kamu.


Kalut dalam ribut
Sesekali nyawa dilambung
Termengah dalam asakan janji dan nekad;
Sarat yang mengosongkan.


Aku tuntut FAHAM.

Thursday 18 April 2013

#5 Himpit

Sejahtera ke atas kamu.



Terhimpit
Kanan-kiri yang datangnya menguis
Membelah, mencerai-beraikan aku menjadi kepingan yang gagal dicantum.

Sebelah jiwa digumpal
Setengah hati dilerai
Keributan
Sebal.

Berkelubung; menolak bunyi-bunyi dan segala aksara
Mematikan seketika kotak jiwa
Senyap; untuk semua.

Malam yang menampar gagah
Menterbalik-telentangkan rasa yang bersisa
Sendiri sahaja.



Maaf dipinta.

Saturday 13 April 2013

#4 Memilih

Sejahtera ke atas kamu.



Senda yang halus
dan tanpa jangka
Diam-diam menyuntik rasa
Meminjam makna
yang tak terduga.

Sedikit-sedikit
tersepit
Bersama semalam yang terungkit.

Kawal minda dan jiwa
Melihat di antaranya
Teliti
dan memberontaklah segala
Enggan;
Memilih.





Friday 12 April 2013

#3 ZineKLAUSA Edisi 2

Sejahtera ke atas kamu.


Kalian apa khabar? Aku? Alhamdulillah, nikmat Tuhan yang satu ni masih belum putus.

Maaflah sejak dua menjak ni puisi-puisi aku di #puisiTwitter berbunyi sendu je. Dan akhir-akhir ni hilang jejak sekejap. Ada satu dua makhluk yang jejak aku. Hihi. Sorry. Masa sangat jelly (baca: cemburu).

Aku tengah kumpul tenaga fizikal dan mental untuk final exam tak lama lagi. Untuk freshie macam aku ni, kena kerja kuat sikit dari awal. Dapatkan momentum, kata orang. Mohon doa dari kalian ye. (^_^)



Ha ada berita ni!

Tau #ZineKLAUSA?

Ha ni Edisi 1 punya.



Himpunan puisi tulisan:-
Sepet
Addin (@pesonagegat)
Adam (Op_Anas)
Husna (@HusnaIdris)
Kobes (@CorbisRazak)
kosong (@1kosong)

"Klausa adalah garapan rasa rasa tentang kehidupan. 
Perkara yang sering kita lalui dan alami. 
Antara bebas atau tidak, itu PILIHAN."



Itu Edisi 1 ye adik-adik. Ketahuilah bahawa................................................,


#ZineKLAUSA Edisi 2 dah release!!!


Cuma RM8 termasuk pos. Sangat mampu dimiliki!

Cepat! Mensi @AktaKLAUSA, dan kami akan respon dengan upaya yang segera.



Himpunan cerpen.

"Antara bebas atau tidak, itu PILIHAN."



Dalam Edisi 2 ni aku sumbangkan cerpen yang palinglah pendek dan..., cerpen pertama yang aku BERANI share dengan kalian. *malu* Harap-harap tak mengecewakan. Sesungguhnya aku tak upaya nak bercerita. Selalu melepaskan rasa melalui tulisan pendek-pendek di ruangan puisi Kapasitor atau #puisiTwitter saja.


Mohon sokongan daripada kalian ye.

Trimas! (^_^)

Tuesday 2 April 2013

#2 Padat

Sejahtera ke atas kamu.


"Dalam kepadatan waktu,
Aku padatkan kata dan lebur ragu.

Percayalah, waktu selalu cemburu."


Dalam pada memadatkan kata dalam waktu yang padat, aku jumpa nada lantang dalam bicara. Dan dalam tepu sendu yang ada, aku keliru.

Aku rasa tak mampu kotakan kata yang mengikat rasa. Rasa upaya tak seberapa. Rasa belum lagi lega tanpa sekuat-kuat usaha.

Dalam padat kata; yang dimuntahkan semua, aku jujur pada setiap yang merasa.



Maaf. Niat bukan mencalar, meluka. Aku mahu yang benar dibuka.

Friday 11 January 2013

#1 Awal Kalam


Sejahtera ke atas kamu.


Dah lama berhenti menulis belog. Canggung mengekspresikan rasa dalam bentuk ayat-ayat yang panjang begini. Sudah terbiasa dengan ringkasan berbentuk puisi, mungkin.

Aku lemah menutur ayat-ayat kasih sayang bergenre jiwang yang menusuk-nusuk. Kata-kata aku selalu berbau dingin, walaupun temanya cinta.  Mungkin kerana itulah ramai berpendapat aku ni keras hati. (hahaha). Cuma tahu yang carca-marba, jadi mohon tegur jika kesalahan aku mengjengkelkan.

Pernah cuba buat cerpen, tapi hancur lebur. Cuma mampu menikmati karya-karya rakan sepenulis yang ternyata, terasa nikmat penceritaannya.

Tahun 2009, aku mula menulis di Gelanggang Puitis. Karya hingusan pertama aku adalah Akukah Itu?. Secara jujur, aku hantar penuh dengan debar. Segan. Tak yakin. Ketika itu, PETAKdaud yang menolak aku untuk sama-sama menulis dengan yakin.

Perlahan-lahan, aku beranikan diri untuk belajar lebih lagi dan bergaul dengan komuniti di Kapasitor. Link yang secara kebetulan aku jumpa, akhirnya mengikat aku dengan website yang membuka banyak peluang untuk penulis-penulis comot macam aku berkongsi rasa. Percayalah, sikit-sikit keyakinan aku makin bertambah. Perkongsian ilmu daripada ahli-ahlinya melimpah ruah.

Atas faktor kekangan masa, aku jarang-jarang masuk ke Gelanggang dan Kapasitor untuk beberapa ketika. Sekali-sekala aku akan singgah untuk berkongsi karya, bertukar khabar dan paling tidak pun, membaca secara senyap (silent reading). Bermula akhir tahun 2010 memberi aku ruang untuk lebih aktif dalam aktiviti penulisan kreatif dan peluang itu aku gunakan sepenuhnya. 

Kemunculan aku yang persis 'chipsmore' membuatkan aku terlepas banyak saat berharga di kedua-dua tempat. Jadi, baru-baru ini aku berjinak-jinak dengan #puisiTwitter (cabang website Kapasitor) supaya dapat gunakan masa dan ruang yang minimum untuk berkarya. Caranya? Mudah. Tweet saja! Sambil-sambil hantar karya, aku maksimumkan penggunaan masa untuk berinteraksi dengan penulis-penulis lain. Seronok!

Dan atas desakan jiwa yang meronta-ronta lagi, aku usahakan menulis semula di belog. Mungkin dengan cara ni boleh bagi kekuatan untuk aku hasilkan karya-karya picisan yang lebih baik. Doa aku, moga-moga aku diterima dalam arena penulisan carca-marca dan serba merepek segala.


Salam kenal daripada aku,
kosong.

19:41
26032013

Notakaki: Berbulan aku cuba habiskan tulis entri pertama ni. Hahaha.